RM500j diperuntuk bagi program 1AZAM tingkat kualiti hidup rakyat
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memperbaiki taraf hidupan rakyat di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-61 daripada 185 negara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPD) menerusi Laporan Pembangunan Manusia (HDR 2011). Antara kejayaan dan inisiatif adalah mengeluarkan 44,000 isi rumah daripada kemiskinan tegar, RM500 juta diperuntukkan bagi program 1AZAM yang memberi nikmat kepada 47,000 isi rumah dan RM1.4 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk bantuan 500,000 penerima bantuan kebajikan menerusi program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).
Menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Taraf kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah (LIH) itu juga menjadikan Malaysia sebagai negara contoh bagi pengurusan dan pembasmian kemiskinan.
Program 1AZAM dilaksanakan bagi membebaskan isi rumah berpendapatan rendah daripada kelompok kemiskinan melalui pekerjaan, keusahawanan, aktiviti pertanian dan perkhidmatan. Setakat tahun lalu, sebanyak 63,147 isi rumah, termasuk 12,510 dari Sabah dan 11,401 dari Sarawak sudah menyertai program 1AZAM.
Selain itu, melalui usaha berterusan kerajaan meningkatkan pendapatan, 1,100 usahawan wanita berpendapatan RM3,500 sebulan berjaya dilahirkan tahun lalu, menjadikan 3,100 orang dalam tempoh dua tahun.

